Views: 140

Please follow and like us:
fb-share-icon0
Tweet 20

Kampung Parit Sidang Seman

Bagi mendapatkan gambaran awal mengenai penerokaan Kampung Parit Sidang Seman, beberapa temubual telah di buat. Orang yang paling tua di Kampung Sungai Rambai ialah Tuan Hj. Abu Hassan bin Mahat yang berusia 95 tahun pada ketika itu. Semasa umur remajanya, beliau ada berjumpa dengan Sidang Seman dari Kampung Parit Sidang Seman. Menurut sejarah, penduduk yang paling tua di Kampung Parit Sidang Seman ialah Puan Satimah @ Satinah Binti Adam yang dilahirkan pada tahun 1914. Puan Satinah adalah anak kepada pasangan Adam bin Mohd Ali dan Siru Binti Hj. Bakar yang mana Encik Adam merupakan di antara peneroka terawal Kampung Parit Sidang Seman. Selain itu, Atan @ Chatok bin Ahmad yang dilahirkan pada tahun 1925 merupakan generasi ke dua di Kampung Parit Sidang Seman. Datuknya Satam @ Tukang bin Hj. Md. Damin berasal dari Parit Setongkat, Jalan Bakariah, Muar, Johor telah datang ke Kampung Parit Sidang Seman, meneroka dan menetap di kampung tersebut. Tapak asal rumah beliau ialah di sebelah baroh Madrasah Al – Jihad yang ada sekarang ini. Seterusnya, Tuan Hj. Abu Bakar bin Hj. Saleh yang lahir pada tahun 1927 merupakan cucu kepada pasangan Isnin bin Samad dan Mimah binti Dagang iaitu salah seorang peneroka awal kampung ini yang berasal dari Kampung Tedong , Merlimau, Melaka. Tapak rumah mereka telah di bina jalan baru semasa projek membina jalan pada tahun 2003 dilaksanakan.

Daripada maklumat yang diperolehi, kampung ini telah di teroka oleh mereka yang berasal dari Kampung Sempang dan Kampung Tedong di mana mereka adalah bersaudara. Terdapat juga dari mereka yang berasal dari Muar. Kesemua mereka mengusahakan tanaman utama seperti pokok getah, pokok kelapa dan sawah padi. Mereka mengusahakan tanaman padi di sebelah darat Kampung Parit Sidang Seman iaitu Sawah Padi Telok Belantik berhampiran dengan Sungai Kesang dan kini di kenali dengan nama Sawah Padi Telok Rimba. Walau bagaimana pun, agak sukar untuk menentukan siapakah di antara mereka yang terawal datang ke Kampung Parit Sidang Seman.

Dari 18 orang peneroka awal Kampung Parit Sidang Seman, hanya seorang sahaja yang namanya diabadikan sebagai nama kampung mereka. Mengikut sejarah seseorang pemimpin perlu mempunyai ciri – ciri perwatakan sebagai seorang ketua yang dapat memimpin masyarakatnya. Di antara perwatakan yang perlu dimiliki ialah garang, tegap dan sebagainya. Tuan Hj. Abu Hassan bin Mahat dari Parit Putat menyatakan, Sidang Seman seorang yang agak garang dan kanak – kanak yang sedang berenang di parit akan bertempiaran lari apabila melihat kelibatnya. Tuan Hj. Abd. Ghani dari Parit Perawas juga mempunyai pandangan yang sama. Manakala Atan @ Chatok sebagai penduduk jati kampung ini menyatakan bahawa beliau tidak berani rapat atau bermesra dengan Sidang Seman. Bentuk tubuh badan beliau digambarkan seorang yang rendah, berbadan tegap dan berkepala botak. Oleh kerana para penduduk mengusahakan tanaman getah dan juga kelapa, mereka perlu mengeringkan kebun mereka agar tidak ditengelami dengan air. Untuk itu, mereka perlu menggali parit yang lebih besar agar air dari kebun – kebun dapat dialirkan ke sungai. Bagi memimpin kerja – kerja menggali parit, Sidang Seman telah memainkan peranan dan ini juga yang menyebabkan nama beliau telah diabadikan di Kampung Parit Sidang Seman.

Pada masa penerokaan awal kampung, setiap orang perlu berusaha sendiri untuk menebang pokok, membersihkan serta menanam pokok tanaman seperti getah, kelapa dan sebagainya. Menurut cerita daripada Tuan Hj. Abu Hassan bin Mahat, bagi mengatasi kebun dari ditenggelami air, satu parit yang lebih besar perlu di gali untuk menggalirkan air dari kebun – kebun menghala ke Sungai Kesang. Kerja – kerja ini dilakukan secara gotong – royong. Masyarakat Kampung Parit Sidang Seman telah menggali parit tersebut, begitu juga dengan masyarakat Kampung Parit Penghulu. Kedua – dua parit yang digali ini menuju ke hala yang sama iaitu Sungai Kesang. Dan di pertemuan kedua – dua parit ini (sebelum sampai ke Sungai Kesang) mereka telah terjumpa tunggul rambai yang agak besar. Keterangan ini pernah diceritakan oleh Allahyarham Imam Hj. Jantan bin Hj. Sam dan Tuan Hj. Abd Ghani bin Md. Jani serta Encik Atan @ Chatok bin Ahmad juga mengesahkannya. Penemuan tunggul rambai ini telah memberikan nama KAMPUNG SUNGAI RAMBAI. Lukisan tangan peta Kampung Sungai Rambai oleh Allahyarham Tuan Hj. Arshad bin Hj. Abd Karim telah dicatitkan nama Kampung Sungai Rambai yang membawa maksud Kuala Sungai Rambai. Dan disinilah pertemuan dua batang parit iaitu Parit Sidang Seman dan Parit Penghulu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

TOP