Zon Penempatan Baba Nyonya
Kewujudan masyarakat Peranakan Baba – Nyonya sering kali dikaitkan dengan lagenda kedatangan Puteri Hang Li Po sebagai isteri kepada Sultan Mansur Shah iaitu Sultan Melaka (1456 – 1477) bersama rombongan seramai 500 orang dayang pengasuh. Adalah dikatakan bahawa, masyarakat Peranakkan Baba – Nyonya adalah keturunan daripada perkahwinan para dayang pengasuh ini dengan pembesar Kesultanan Melayu Melaka. Manakala Bukit China pula telah dihadiahkan sebagai tempat kediaman bagi Permaisuri Cina baginda.
Semenjak kewujudan masyarakat Peranakan Baba – Nyonya pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka sehinggalah zaman keemasan mereka di Pulau Pinang dan Melaka pada akhir kurun ke – 19 dan awal kurun ke – 20, sumbangan Peranakan Baba – Nyonya dalam memperkayakan warisan negara kita tidak boleh dinafikan lagi. Masyarakat ini biasanya di kenali melalui gelaran ‘Baba’ (dari perkataan Hindi yang bererti ‘Ayah’ atau ‘Datuk’) dan Nyonya (dari perkataan Portugis ‘Donna’ bererti ‘Puan’). Para ahli tersanjung masyarakat ini termasuklah Dato’ Sir Tun Tan Cheng Lock dan anaknya Tun Tan Siew Sin, serta beberapa pemimpin negeri Pulau Pinang dan Melaka serta ahli jemaah Kabinet Malaysia kini. Penempatan utama masyarakat ini di Malaysia bertumpu di Pulau Pinang dan Melaka; dengan beberapa penempatan kecil di Kelantan dan Terengganu; di mana rumah – rumah kedai dan kediaman besar peranakan masih berdiri dan menjadi daya tarikan kepada para pengkaji seni bina, peminat sejarah dan pelancong juga. Selain Bahasa Melayu Peranakannya; mereka juga menggunakan hasil campuran bahasa Hokkien, Melayu, Inggeris, Belanda, dan Portugis. Kesemua bahasa campuran ini telah melahirkan persembahan Dondang Sayang.
Masakan Nyonya yang unik kini dihidangi di seluruh dunia, manakala hasil kraftangan busananya seperti Baju Kebaya, Sarong dan Kasut Manik; dan perhiasan seni tembikarnya yang di kenali sebagai ‘Nyonya Ware’ atau ‘Straits Chinese Porcelain’ (Tembikar Cina Selat) di hargai bukan sahaja kerana nilai antiknya yang tinggi, tetapi juga sebagai penjelmaan sebuah budaya warisan Selat Melaka yang unggul dan tiada tandingannya.