Makam Hang Kasturi
Makam yang dikatakan sebagai Makam Hang Kasturi ini terletak di Jalan Hang Jebat. Dahulunya jalan ini turut di kenali sebagai Jalan Gelanggang dan Jalan Jonker. Hang Kasturi adalah salah seorang pahlawan terbilang pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Beliau merupakan salah seorang dari lima sahabat yang masyhur iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu.
Makam ini merupakan makam yang bersaiz sederhana besar terletak di dalam kawasan batu bertembok dikelilingi pagar besi. Bahagian hadapan makam terdapat sebuah pintu gerbang. Sebahagian tembok kawasan makam berbentuk suku bulatan yang turut bercantum dengan rumah kedai disebelahnya. Makamnya pula dibina berbentuk empat segi bujur bertingkat-tingkat. Corak batu nisannya berasal dari kurun ke-18. Pada bahagian tembok makam pula turut dibina sebuah lubang berbentuk segi tiga yang dikatakan sebagai tempat meletak lilin atau pelita. Berdasarkan dari corak binaan sedia ada makam ini telah diperbaiki dari semasa ke semasa.
Makam Hang Kasturi telah diwartakan sebagai Zon Penempatan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 pada 28 Disember 2006.