Views: 169

Please follow and like us:
fb-share-icon0
Tweet 20

Masjid Ar-Razak

Masjid ini terletak di KM. 32, Mukim Sungai Baru Hilir, Kampung Pulau, Masjid Tanah. Pada asalnya masjid ini dibina menggunakan kayu namun telah dibina semula pada tahun 1916 dengan menggunakan material batu seperti yang masih wujud sehingga kini.

Pengasas pembinaan masjid ini ialah Penghulu Razak dan pembinaannya turut dibantu oleh beberapa anak buah terdekatnya. Menurut dari sumber lisan, pembinaan masjid ini adalah sebagai bayaran nazar oleh Penghulu Razak setelah memperolehi keuntungan lumayan hasil daripada perusahaan ladang getahnya. Hasil dua pertiga dari jumlah pembiayaan masjid ini telah disampaikan oleh Penghulu Razak melalui anak buahnya iaitu Haji Arshad yang juga merupakan penghulu pada ketika itu. Masyarakat kampung juga turut bersama-sama telah mengumpul derma bagi menampung sepertiga lagi daripada kos pembinaan masjid ini.

Seni bina masjid ini memiliki banyak pengaruh terhadap reka bentuk seni bina seperti yang terdapat di Masjid Pekan, Masjid Tanah, Alor Gajah. Namun di masjid ini terdapat satu perbezaan yang nyata iaitu tiang serinya tidak lagi dibuat daripada kayu seperti masjid-masjid warisan lain yang terdapat di seluruh negeri Melaka. Ini kerana tiang seri masjid ini telah dibina dengan menggunakan simen. Pada tahun 1975, masjid ini telah diubahsuai bagi kerja-kerja penambahan ruang sembahyang untuk kemudahan para jemaah. Masjid ini juga telah diwarta di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 pada 6 Mei 2004.


مسجد اين ترلتق د كيلوميتر ٣٢، مقيم سوڠاي بارو هيلير، كامڤوڠ ڤولاو، مسجد تانه. ڤد اصلڽ مسجد اين دبينا مڠڬوناكن كايو نامون تله دبينا سمولا ڤد تاهون ١٩١٦ دڠن مڠڬوناكن ماتيريال باتو سڤرتي يڠ ماسيه وجود سهيڠڬ كيني.

ڤڠاسس ڤمبينأن مسجد اين اياله ڤڠهولو رازق دان ڤمبينأنڽ توروت دبنتو اوليه ببراڤ انق بواه تردكتڽ. منوروت دري سومبر ليسن، ڤمبينأن مسجد اين اداله سباڬاي بايرن نذر اوليه ڤڠهولو رازق ستله ممڤراوليهي كأونتوڠن لوماين حاصيل درڤد ڤراوسهأن لادڠ ڬتهڽ. حاصيل دوا ڤرتيڬ دري جومله ڤمبيايأن مسجد اين تله دسمڤايكن اوليه ڤڠهولو رازق ملالوءي انق بواهڽ ايأيت حاج ارشد يڠ جوڬ مروڤاكن ڤڠهولو ڤد كتيك ايت. مشاركت كامڤوڠ جوڬ توروت برسام-سام تله مڠومڤول درما باڬي منمڤوڠ سڤرتيڬ لاڬي درڤد كوس ڤمبينأن مسجد اين.

سني بينا مسجد اين مميليقي باڽق ڤڠاروه ترهادڤ ريك بنتوق سني بينا سڤرتي يڠ ترداڤت د مسجد ڤكن، مسجد تانه، الور ڬاجه. نامون د مسجد اين ترداڤت ساتو ڤربيذأن يڠ ڽات ايأيت تياڠ سريڽ تيدق لاڬي دبوات درڤد كايو سڤرتي مسجد-مسجد واريثن لأين يڠ ترداڤت د سلوروه نڬري ملاك. اين كران تياڠ سري مسجد اين تله دبينا دڠن مڠڬوناكن سيمين. ڤد تاهون ١٩٧٥، مسجد اين تله داوبهسواي باڬي كرجا-كرجا ڤنمباهن رواڠ سمبهيڠ اونتوق كموداهن ڤارا جماعه. مسجد اين جوڬ تله دورتا د باوه اينكمن ڤموليهارأن دان ڤموڬارن واريثن بوديا ١٩٨٨ ڤد ٦ مي ٢٠٠٤.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

TOP