Bastion Mauritis
Penyelidikan arkeologi dan eskavasi dijalankan oleh Jabatan Warisan Negara bagi meneruskan pendedahan keseluruhan Kota Melaka. Berdasarkan kepada rekod – rekod Portugis dan Belanda, tapak ini merupakan kawasan yang menghadap ke arah laut di mana terdirinya salah sebuah kubu terkuat Kota Melaka yang dinamakan Bastion Mauritius (Bastion = kubu). Hasil rujukan daripada pelan lama Portugis tahun 1588, di kawasan ini juga terdirinya hospital yang menempatkan pesakit – pesakit yang tinggal di dalam kota yang di panggil Hospital del Rey dan Hospital Dos Pobres. Hospital tersebut di bina di kawasan ini berikutan kedudukannya yang strategik yang terletak berhampiran dengan laut, agar pesakit dengan mudah dapat di bawa ke kapal yang berlabuh di laut berhampiran jika memerlukan rawatan di luar. Selain itu, Bastion Mauritius yang berbentuk tiga segi ini, selain mempunyai ketebalan dinding yang kuat, ia juga mempunyai turet atau menara tinjau untuk mengawasi keadaan di laut bagi memastikan keselamatan.
Tujuan penyelidikan dan eskavasi arkeologi yang dijalankan di tapak ini adalah untuk mendedahkan jajaran tembok Kota Melaka. Proses eskavasi yang dijalankan adalah berdasarkan kepada kerja – kerja pengukuran berdasarkan pelan Kota Melaka era Portugis 1588. Hasilnya, jajaran tembok Bastion Mauritius telah didedahkan. Jumpaan jajaran tersebut telah membuka ruang untuk mengenalpasti dan mendedahkan struktur Bastion Mauritius berbentuk tiga segi seperti yang terdapat di dalam pelan. Walau bagaimanapun, jumpaan tersebut tidak secara menyeluruh kerana sebahagian daripada bastion ini telah hancur dan menghilangkan rupa bentuk asalnya . penyelidik berpendapat bastion ini telah dimusnhakan oleh British pada tahun 1807 berdasarkan rekod sejarah.