Visits: 196

Gerbang Santiago

Bastion Santiago adalah sebahagian dari tinggalan Kota Pertahanan Melaka yang dibina oleh Portugis selepas menakluki Melaka pada tahun 1511. Kota ini diperkukuhkan pada zaman Belanda selepas menewaskan Portugis pada tahun 1641. Kewujudannya dapat dilihat pada pelan kota yang dibuka di zaman pemerintahan Portugis dan Belanda. Kota ini telah dimusnahkan oleh British di bawah pimpinan William Farquhar pada tahun 1807. Hanya pintu Santiago sahaja yang terselamat setelah dihalang oleh Stamford Raffles dan Lord Minto.

Bastion Santiago telah ditemui semula pada akhir tahun 2002 iaitu semasa kerja-kerja penggalian bagi projek pembangunan Padang Pahlawan dijalankan. Penemuan ini bersempadan dengan tembok penahan ombak yang dibina oleh Pemerintah Inggeris pada awal kurun ke-19 dengan menggunakan batu runtuhan Kota Melaka. Kawasan tersebut merupakan Pantai Selat Melaka yang ditambak dan dijadikan padang sekitar tahun 1930an. Penemuan tembok separuh bulatan dianggap sebagai binaan kota asal yang dikenali sebagai Bastian Santiago. Disebabkan penemuan tersebut kerja-kerja pembinaan di Padang Pahlawan diubahsuai supaya penemuan tersebut terus kekal dan dipelihara.

Pada tahun 2003, Jabatan Muzium dan Antikuiti telah melakukan kerja-kerja eskavasi di halaman premix dengan andaian dapat menemui susunan batu laterite berbentuk bulatan yang tertanam di bawah lapisan premix ini. Kerja-kerja penggalian seluas 23 meter x 18 meter telah dilaksanakan. Beberapa bahagian dari sambungan telah ditemui. Walau bagaimanapun timbunan batu runtuhan di bawah 20 hingga 30 sentimeter dari aras permukaan premix menyukarkan penggalian. Kerja-kerja penggalian seterusnya dilaksanakan pada tahun 2005. Batu-batu runtuhan yang telah direkod, dirakam dan dikeluarkan dari tapak penggalian. Dari kerja-kerja yang dilaksanakan hampir keseluruhan bulatan Bastion telah dikesan. Penemuan susunan batu laterite berbentuk bulatan juga ditemui pada ruang bahagian dalam Bastion. Turut ditemui adalah tembok yang menghala ke Pintu Santiago dan tembok yang mengarah ke bahagian barat. Penggalian terus dilaksanakan dengan mengikut penemuan susunan tembok hingga aras kedalaman hampir 3 meter. Tembok asas kota masih berterusan. Walaubagaimanapun, kerja-kerja penggalian dihentikan kerana tapak galian ditakungi air. Penemuan ini dipertontonkan kepada pelawat dalam keadaan sedia ada kerana tidak dapat dipastikan dengan tepat ketinggian dan bentuk sebenar Bastion Santiago.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

TOP