Visits: 142

Kampung Bukit Cina

Bukit Cina adalah sebuah bukit yang terkenal di Melaka khususnya bagi kaum Cina dan merupakan bukit yang tertinggi dalam bandar Melaka dengan ketinggiannya yang berukuran 149 kaki. Walaupun Bukit Cina terletak di luar Kota Melaka, peranannya amat besar dalam lipatan sejarah negeri Melaka kerana lokasinya yang strategik. Keluasan Bukit Cina dikatakan 106 ekar dan 20 pole, meliputi tiga buah bukit yang terdapat di sekelilingnya iaitu Bukit Cina, Bukit Gedung dan Bukit Tempurong.

Nama bukit ini muncul dalam sejarah Melaka buat pertama kalinya ketika pemerintahan Sultan Mansor Shah (1458 – 1477). Baginda telah memilih persekitaran bukit ini bagi kediaman isterinya, Puteri Hang Li Poh. Sejarah Melayu menyatakan bahawa Puteri Hang Li Poh dan seramai 500 orang pengikutnya telah dihantar ke Melaka oleh Raja Cina untuk mengahwini Sultan Mansor Shah. Sultan Mansor Shah telah menerima anugerah tersebut dan berkahwin dengan Puteri Hang Li Poh selepas puteri itu memeluk agama Islam.

Bukit Cina juga merupakan penempatan terawal orang Melayu kerana menurut wakil penduduk Tuan Hj Abd Rahman bin Daud melalui sumber lisan hasil dari kajian sejarah penempatan perkampungan di Bandar Melaka pada tahun 1984, ianya telah wujud sejak zaman Kesultanan Melaka lagi iaitu sejak zaman Sultan Mansor Shah.

Kini masyarakat Melayu semakin berkurangan disebabkan berlakunya penghijrahan orang-orang Melayu berikutan cukai tanah yang semakin meningkat dan masalah pemilik tanah yang kurang berkemampuan telah menjual tanah milik mereka kepada bangsa asing seperti bangsa Cina. Kebanyakan masyarakat Melayu lebih suka tinggal di kawasan kampung yang jauh di pedalaman untuk memudahkan mereka beramal ibadat dengan lebih selesa.

Sehingga kini penempatan ini masih dinamakan perkampungan Bukit Cina terutamanya yang terletak di persekitaran dan berhampiran dengan Bukit Cina yang telah menjadi bekas tapak perkuburan masyarakat Cina.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

TOP