Visits: 157

Kampung Morten

Kampung Morten merupakan sebuah perkampungan tradisional yang mana masih lagi mengekalkan dan mengamalkan cara hidup tradisional dengan mengekalkan keunikan reka bentuk rumah tradisional Melaka sehingga di anggap sebagai muzium hidup. Perkampungan Morten yang terletak di tengah Bandaraya Melaka di anggap mempunyai kedudukan yang strategik dan merupakan sebuah perkampungan Melayu yang masih kekal mengamalkan adat Melayu walaupun terletak di tengah bandar yang pesat membangun. Kerajaan negeri telah mewartakan Kampung Morten di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan sebagai pusat tarikan pelancong.

Perkampungan Morten mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sejarah Kampung Morten bermula pada tahun 1920 - an yang mana asal usul penduduk Kampung Morten adalah merupakan penduduk Kampung Jawa yang diarahkan untuk berpindah dari kampung mereka. Penduduk Kampung Morten pada ketika itu telah bermuafakat mencari satu tempat baru untuk dijadikan tempat kediaman. Hasil permuafakatan tersebut telah menyebabkan mereka menemui sebuah tempat baru yang tidak bernama yang merupakan kepunyaan Encik Abdullah bin Maarof dan Pak Khalid. Bagaimanapun, tuan tanah tidak mahu menjualkan tanah tersebut menyebabkan ia mendapat campur tangan dari pihak berkuasa.

Hasil campur tangan pihak berkuasa pada ketika itu iaitu J.F. Morten yang telah mengadakan rundingan dengan pemilik tanah sehingga mencapai kata putus menyebabkan tuan tanah bersetuju menjualkan tanahnya dengan harga RM 8.000.00. Setelah tanah berjaya di beli, timbul pula masalah kewangan kerana mereka yang membeli tanah tersebut tidak mempunyai kewangan yang mencukupi. Bagi mengatasi masalah tersebut, beberapa rundingan telah di buat bersama J.F. Morten dengan Dato’ Othman dan Demang Haji Abdul Ghani bagi pihak penduduk dan akhirnya telah berjaya mendapatkan pinjaman wang sebanyak RM 10.000.00 dari pihak berkuasa untuk harga belian tanah, perbelanjaan ukur dan pecah tanah seluas 16½ ekar serta pinjaman yang mana akan di bayar sebanyak RM 1.000.00 sebulan. Tanah telah dipecahkan kepada 100 lot dan di nilai dengan harga RM 100.00 untuk satu lot. Setelah selesai pembahagian tanah, penduduk Kampung Jawa telah berpindah ke kawasan perkampungan baru tersebut. J.F.Morten yang merupakan pegawai penguatkuasa tanah pada ketika itu telah menetapkan bahawa hanya orang - orang Melayu sahaja dibenarkan membeli tanah di kawasan penempatan baru itu.

Pada tahun 1922-an, penduduk kampung telah menubuhkan sebuah Lembaga Kampung bagi membincangkan soal pemberian nama kampung tersebut. Antara nama yang dicadangkan ialah Kampung Bunga Raya, Kampung Morten dan Kampung Tanjung Bunga. Hasil perbincangan tersebut, nama ‘ Kampung Morten’ telah di pilih sebagai nama rasmi kampung tersebut. Dato’ Othman yang pada ketika itu merupakan Ketua Kampung telah mencadangkan nama Kampung Morten sebagai tanda mengenang jasa J.F.Morten hingga terbinanya Kampung Morten. Perkampungan Morten mula melalui arus pembangunan apabila pada tahun 1990 - an Negeri Melaka telah melalui pembangunan yang pesat akibat peningkatan sektor pelancongan pada ketika itu. Perkampungan Morten telah diletakkan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan rumah tradisional Melayu di Kampung Morten telah diletakkan di bawah Hak Pelihara Muzium Negeri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

TOP