Visits: 147

Makam Hang Tuah

Lokasi makam ini terletak di kawasan perkuburan Mukim Tanjung Keling. Makam ini dipercayai milik Hang Tuah berdasarkan Sejarah Melayu bahawa Hang Tuah meninggal dan dikebumikan di Tanjung Keling dengan penuh adat istiadat. Selama 3 hari Nobat Diraja tidak dimainkan bersempena dengan pengebumian beliau. Dahulunya makam ini digelar sebagai Makam Tua bagi mengaburi orang-orang Portugis. Sewaktu pemerintahan Belanda barulah nama makam ini digelar sebagai Makam Hang Tuah.

Hang Tuah telah dilahirkan di Kampung Duyong (juga wujud di Sumatera Timur) dari kalangan keluarga miskin pedagang kecil. Kedudukan keluarga ini dikategorikan pada stratifikasi sosial yang ketiga dalam masyarakat Melayu Melaka pada zaman tersebut. Bapanya bernama Mahmud manakala ibunya pula dikenali sebagai Dang Wangi. Panggilan asal Hang Tuah adalah Si Tuah. Seawal usia 10 tahun, Hang Tuah telah mula bekerja sebagai pencari dan penjual kayu api di samping mempelajari seni mempertahankan diri. Dalam tempoh tersebut, beliau berkenalan dengan 4 sahabat-sahabat karibnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu dan membawa kepada gelaran Hang Tuah 5 Bersaudara. Disebabkan oleh kepintaran dan kepakarannya di dalam bidang seni bela diri, maka Hang Tuah telah diangkat sebagai ketua di kalangan mereka.

Hang Tuah 5 Bersaudara ini telah dikurniakan persalinan dan dilantik sebagai Hulubalang Melaka oleh Sultan Muzaffar Shah (1446-1458) atas jasa mereka menyelamatkan Bendahara Tun Perak dari dibunuh dalam satu kejadian amuk. Dalam amukan tersebut, Hang Tuah telah berjaya membunuh 2 orang, Hang Jebat seorang manakala Hang Lekir dan Hang Lekiu seorang. Hang Tuah telah diangkat sebagai Laksamana Melaka dan berkhidmat kepada 3 orang Sultan Melaka. Justeru itu, kedudukan beliau dalam stratifikasi sosial juga turut berubah dan dikategorikan sebagai golongan bangsawan. Sebagai Laksamana, beliau telah mengharumkan nama Melaka di seluruh nusantara sehingga ramai orang kagum akan kehebatan serta kebijaksanaannya yang berganding bahu dengan Bendahara Tun Perak.

Namun, disebabkan khianat orang, Hang Tuah telah dijatuhi hukuman mati tetapi atas kebijaksanaan Bendahara Tun Perak, beliau tidak dibunuh dan ditingaalkan di suatu kawasan terpencil. Semasa dalam tempoh pengasingan, jawatan Laksamana Melaka telah diisi oleh Hang Jebat namun beliau pula dianggap mendurhakai Sultan yang seterusnya membawa kepada pertikaman dua sahabat yang menyaksikan Hang Jebat mati ditikam oleh Hang Tuah.

Hang Tuah mempunyai 3 orang anak bernama Tun Biajid, Tun Sirah dan Tun Sabariah serta seorang menantu bernama Hang Nadim (anak saudara Bendahara Tun Mutahir). Selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka, Hang Tuah melarikan diri ke Taboh Naning (Pagoh) lalu ke Ulu Muar. Beliau turut terlibat dalam serangan terhadap Portugis di Melaka. Keturunan Hang Tuah juga turut dikatakan banyak terlibat dalam usaha mempertahankan Kesultanan Melayu Melaka.

Atas kehebatan dan kepatuhannya terhadap Sultan, Hang Tuah dianggap sebagai pahlawan hebat Melaka. Oleh itu, makamnya dibina panjang seperti mana makam-makam orang suci di Melaka. Kerja-kerja restorasi ke atas makam ini telah dijalankan pada tahun 1985. Kini, makam ini diletakkan di bawah jagaan Perbadanan Muzium Negeri Melaka dan telah diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 (pindaan 1993).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

TOP