Visits: 394

Mariam binti Sulaiman

Rumah Tradisional Melaka yang terletak di Solok Duku, Masjid Tanah ini dimiliki oleh Encik Yaakob bin Lesai dan Puan Timah binti Lahab. Rumah ini telah dibina pada tahun 1871 dan kini berusia 150 tahun. Datuk kepada Encik Yaakob ini berasal dari Aceh, Indonesia. Beliau juga merupakan seorang alim ulama.

Rumah ini telah dibina oleh Encik Omar Pawang Besar. Proses pembinaan rumah ini dilakukan pada waktu malam sahaja. Rumah ini turut dibina tanpa menggunakan paku. Ia dibina menggunakan kayu belian dengan berpasakkan dua tiang seri utama di bahagian dalam rumah. Seni bina rumah ini diadaptasi dari Palembang, Indonesia manakala bahagian atapnya adalah dari jenis atap singgora dan turut menggunakan batu marmar. Rekaan bumbung rumah ini juga memiliki pengaruh bumbung minangkabau sementelah ianya terletak di Masjid Tanah yang turut bersempadan dengan Negeri Sembilan. Rumah ini turut diperkukuhkan lagi dengan binaan 21 buah tiang. Kini rumah ini didiami dan dijaga oleh Puan Mariam binti Sulaiman yang juga merupakan generasi ketiga keluarga.

Pada tahun 2021 melalui Perbadanan Muzium Melaka rumah ini telah diperbaiki dan ditambahbaik menggunakan peruntukan wang Tabung Amanah Pemuliharaan dan Pemugaran Negeri Melaka untuk dijadikan sebagai salah satu destinasi kunjungan para pelancong ke Melaka.


رومه تراديسيونال ملاك يڠ ترلتق د سولوق دوكو، مسجد تانه اين دميليكي اوليه انچئ يعقوب بن لساي دان ڤوان تيمه بنت لاهب. رومه اين تله دبينا ڤد تاهون ١٨٧١ دان كيني بروسيا ١٥٠ تاهون. داتوق كڤد انچئ يعقوب اين برأصل دري اچيه، إندونيسيا. بلياو جوڬ مروڤاكن سأورڠ عاليم علماء.

رومه اين تله دبينا اوليه انچئ عمر ڤاواڠ بسر. ڤروسيس ڤمبينأن رومه اين دلاكوكن ڤد وقتو مالم سهاج. رومه اين توروت دبينا تنڤا مڠڬوناكن ڤاكو. اي دبينا مڠڬوناكن كايو بلين دڠن برڤاسقكن دوا تياڠ سري اوتام د بهاڬين دالم رومه. سني بينا رومه اين دادڤتاسي دري ڤلامبڠ، إندونيسيا مانكالا بهاڬين اتڤڽ اداله دري جنيس اتڤ سيڠڬورا دان توروت مڠڬوناكن باتو مرمر. ريكأن بومبوڠ رومه اين جوڬ مميليقي ڤڠاروه بومبوڠ مينڠكاباو سمنتله اياڽ ترلتق د مسجد تانه يڠ توروت برسمڤادن دڠن نڬري سمبيلن. رومه اين توروت دڤركوكوهكن لاڬي دڠن بينأن ٢١ بواه تياڠ. كيني رومه اين دديامي دان دجاڬ اوليه ڤوان مريم بنت سليمان يڠ جوڬ مروڤاكن ڬينراسي كتيڬ كلوارڬ.

ڤد تاهون ٢٠٢١ ملالوءي ڤربادنن موزيوم ملاك رومه اين تله دڤرباءيقي دان دتمبهباءيق مڠڬوناكن ڤرونتوكن واڠ تابوڠ أمانه ڤموليهارأن دان ڤموڬارن نڬري ملاك اونتوق دجاديكن سباڬاي ساله ساتو ديستيناسي كونجوڠن ڤارا ڤلنچوڠ كملاك

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

TOP