Masjid Sungai Petai
Lokasinya terletak di km 20.8, dimukim Sungai Petai.Pembinaanya dilakukan pada akhir tahun 1930-an. Menurut sumber lisan penduduk kampung, Perang Dunia ke-II meletus selepas masjid ini selesai dibina. Dari sumber tersebut dapat dibuat andaian bahawa masjid ini dibina antara tahun 1939-1941.
Pembinaanya diasaskan oleh Hj. Talib iaitu Penghulu di kampung tersebut yang mana turut dibantu oleh beberapa individu lain. Individu-individu tersebut adalah Sidang Hasan, Hj.Ahmad, Hj. Maarof dan Hj. Mansor. Pembinaan tersebut telah dibiayai dengan menggunakan wang hasil kutipan derma mesyarakat kampung dan juga masyarakat setempat.
Masyarakat kampung juga dikatakan memberikan sokongan moral serta material diberikan sepenuhnya oleh masyarakat kampung. Tukang dan pekerja adalah terdiri daripada masyarakat kampung. Mereka telah bekerjasama dan bergotong-royong dalam menyiapkan masjid ini.
Masjid ini dikatakan telah diubahsuai sebanyak empat kali. Namun begitu, maklumat mengenai tarikh pengubahsuaian tersebut tidak dapat dipastikan. Semua kos pengubahsuaian tersebut telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka dan hasil sumbangan orang-orang kampung. Orang yang memainkan peranan penting dalam usaha ini ialah Haji Putih (Sidang I) dan Cikgu Zainal (Sidang II).