Visits: 303

Encik Mohd Hassan bin Ali

Rumah Tradisional Melaka ini dikenali sebagai Teratak Sireh Pinang kerana terletak di Kampung Pinang A. Ia merupakan rumah jenis Berbandung Dua kerana memiliki dua belas tiang utama yang terdiri daripada komponen rumah ibu dan rumah tengah. Ianya bercirikan Rumah Bumbung Panjang Melaka dari jenis lipat kajang dimana tulang perabungnya lurus mendatar dan letaknya memanjang mengikut saiz rumah. Serambi rumah ini merupakan serambi jenis gantung tidak berdinding namun mempunyai kekisi sebagai ganti pagaran selasar agar anak-anak kecil tidak jatuh. Serambi dan anjung tidak berdinding inilah yang membezakan Rumah Tradisional Melaka dengan rumah-rumah tradisional yang lain.

Rumah ini asalnya terletak di Kampung Pinang B dan telah dipindahkan secara bergotong-royong dengan mengangkatnya beramai-ramai ke Lot 1192, Kampung Pinang A sebelum dijual serta dipindahkan sekali lagi ke Lot 1184. Beberapa perubahan dan penambahan ruang telah dilakukan bagi keperluan semasa antaranya rumah dapur yang telah dibina semula menggunakan batu-bata serta struktur tangga telah ditukar kepada rekabentuk tangga batu rumah Melaka yang lebih menarik.

Pada tahun 2021 melalui Perbadanan Muzium Melaka rumah ini telah diperbaiki dan ditambahbaik menggunakan peruntukan wang Tabung Amanah Pemuliharaan dan Pemugaran Negeri Melaka untuk dijadikan sebagai salah satu destinasi kunjungan para pelancong ke Melaka.


رومه تراديسيونال ملاك اين دكنلي سباڬاي تراتق سيريه ڤينڠ كران ترلتق دكامڤوڠ ڤينڠ أي. اي مروڤاكن رومه جنيس بربندوڠ دوا كران مميليقي دوا بلس تياڠ اوتام يڠ ترديري درڤد كومڤونن رومه ايبو دان رومه تڠه. اياڽ برچيريكن رومه بومبوڠ ڤنجڠ ملاك دري جنيس ليڤت كاجڠ دمان تولڠ ڤرابوڠڽ لوروس منداتر دان لتقڽ ممنجڠ مڠيكوت ساءيز رومه. سرمبي رومه اين مروڤاكن سرمبي جنيس ڬنتوڠ تيدق بردينديڠ نامون ممڤوڽاءي ككيسي سباڬاي ڬنتي ڤاڬارن سلاسر اڬر انق-انق كچيل تيدق جاتوه. سرمبي دان انجوڠ تيدق بردينديڠ اينله يڠ ممبيذاكن رومه تراديسيونال ملاك دڠن رومه-رومه تراديسيونال يڠ لاءين.


رومه اين اصلڽ ترلتق د كامڤوڠ ڤينڠ بي دان تله دڤيندهكن سچارا برڬوتوڠ-رويوڠ دڠن مڠڠكتڽ براماي-راماي كلوت ١١٩٢، كامڤوڠ ڤينڠ أي سبلوم دجوال سرتا دڤيندهكن سكالي لاڬي كلوت ١١٨٤. ببراڤ ڤروبوهن دان ڤنمباهن رواڠ تله دلاكوكن باڬي كڤرلوان سماس انتاراڽ رومه داڤور يڠ تله دبينا سمولا مڠڬوناكن باتو-بات سرتا ستروكتور تڠڬ تله دتوكر كڤد ريكبنتوق تڠڬ باتو رومه ملاك يڠ لبيه مناريق.


ڤد تاهون ٢٠٢١ ملالوءي ڤربادنن موزيوم ملاك رومه اين تله دڤرباءيقي دان دتمبهباءيق مڠڬوناكن ڤراونتوقن واڠ تابوڠ أمانه ڤموليهارأن دان ڤموڬارن نڬري ملاك اونتوق دجاديكن سباڬاي ساله ساتو ديستيناسي كونجوڠن ڤارا ڤلنچوڠ كملاك.

1 Comment to “ Encik Mohd Hassan bin Ali”

  1. Syamimi says :Balas

    Rumah nie cantikkk…owner baik dan boleh tolong amikkan gambar sekali..🌹jemput datang semua kalau datang melaka..

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

TOP